Doktor vs Cikgu

Assalamualaikum semua! Pertama sekali, aku nak ucapkan terima kasih sekiranya cerita aku ni tersiar. Sedikit pengenalan, aku merupakan graduan perubatan luar negara. Alhamdulillah, sudah bekerja sekarang. Aku terpanggil nak kongsi cerita aku bertugas sebagai guru ganti lepas habis belajar zaman dulu-dulu, lepas baca kisah guru praktikal. Sebab aku rasa, banyak sangat yang boleh kita sama-sama ambil iktibar.

Awalnya, aku berhasrat untuk cari kerja sementara yang masih berada dalam aliran perubatan contohnya pembantu klinik atau pembantu farmasi. Konon-konon, supaya tak lupa berkarat apa yang dah belajar. Tapi takda rezeki aku ke arah itu. Akhirnya aku dipanggil sebagai guru ganti di sebuah sekolah rendah luar bandar. Aku terima demi mencari pengalaman. Malah, siap berazam nak jadi murabi kepada anak-anak murid comel ni. Hahaha…sebab murabi ni bermaksud menjadi guru dan pada masa yang sama menjadi ibubapa, syaikh(rujukan ilmu kerohanian) dan pemimpin. Buat apa susah-payah cari mutarabi(anak murid) jauh-jauh sedangkan orang paling utama yang memerlukan sentuhan murabi tu sebenarnya adalah insan yang paling dekat dengan kita. Hari-hari jumpa.

Begitu dasyat sekali aku punya azam! Takpa, yang penting niat tu ada.

Hari pertama, guru-guru lain dah bagi amaran “Jangan bagi muka sangat kat budak-budak tu. Nakal sungguh tu, eh bukan nakal, jahat!” Aku terkesima tetapi masih menaruh harapan tinggi. Budak-budak, jahat manalah diorang ni kan? Akhirnya, aku megalami kejutan budaya moral tatasusila sangat, masuk kelas, ucapan ‘selamat pagi’ pun tak ada! Hari itu juga menjadi saksi aku hilang suara lepas ajar empat kelas, sejam setiap sesi! Baru ku tahu, guru ganti sebelum ni pun mampu bertahan sekejap sahaja. Haha…nak kata nakalnya bebudak nih, hari pertama dah ada kes berdarah hidung, luka sana sini. Kejap-kejap datang mengadu kepala luka ditumbuk. Aku tiap-tiap hari memang akan bawak tisu bebanyak sebab hampir setiap hari ada je kes2 luka kecemasan. Macam kat emergency department pula jadinya.

Kalau masuk kelas belakang, ‘attention span’ diorang kurang dari 5 minit. Menangis la aku di bucu kelas. Rasa macam nak nyanyi lagu “kami guru Malaysia, berikrar dan berjanji, mendidik dan memimpin, putera puteri negara kita”… Dalam banyak-banyak pelajar , ada beberapa orang ni yang memang nakal, mashaAllah! Sampaikan kali pertama aku jumpa bebudak ni, aku hanya boleh bayangkan besar nanti mereka bakal jadi ‘castello’ atau siapa-siapa saja watak dalam filem KL gangster bagai tu. Dari segi adab, pemilihan bahasa, aku tak percaya wujud budak-budak macam ni. Aku ugut nak hantar pergi jumpa doktor gigi suruh cabut semua gigi sebab tak nak buat kerja, pandai menjawab “ Emh, tak takut langsung, bukan sakit pun”. Ni umur lapan tahun tau. Sekali lagi aku menangis di bucu kelas…hihi. Seingat aku dulu-dulu, jururawat datang ke pintu kelas pegang kad hijau rekod kesihatan gigi tuh, aku dah rasa nak menangis kecut perut. Kanak-kanak sekarang dah tak heran ugutan macam tu. Lepas berfikiran pesimis tu, aku terus istighfar banyak2, mana mungkin seorang murabi tak boleh bayangkan yang baik-baik untuk pelajar-pelajar yang dikasihinya…

Aku berjaya mengharungi tugas sebagi guru ganti, Alhamdulillah. Mungkin tak banyak ilmu ‘exam’ yang aku ajar kepada anak-anak murid aku ni. Sebab kemahiran aku mengawal kelas amat menyedihkan. Orang kata aku terlalu ‘baik’ sampai dibuli pelajar sendiri, huhu! Tapi aku harap, mereka semua mula ada kefahaman sikit-sikit mengenai kepentingan menjaga sikap atau akhlak. Aku tak tahan, sampai ada satu minggu tu, aku buat tema “Good manners VS bad manners”. Semua aktiviti minggu tu berkisarkan tema ni. Siap ada mutabaah amal ‘good manners’ lagi untuk tugasan minggu tu. Aku cuba tekankan pada diorang bahawa misi utama kita kat dunia ni adalah untuk menjadi ‘good boy/girl’. Aku cuba, selebihnya aku serah pada Allah.

Sekarang, aku rindu pulak kat bebudak ni. Pening-pening menghadapi kerenah diorang pun, itu yang membuatkan aku rasa gembira dan hidup aku rasa terisi. Kini, aku jumpa pesakit setiap hari, kembali kepada benda yang aku sukai. Pening jugak, tapi cukup untuk buat aku tersenyum. Lepas dah kerja di hospital ni, banyak sangat pengalaman jadi guru ganti tu yang menjadikan siapa aku sekarang nih. Antaranya adalah:

1. Kembali ke tempat asal kita. Kali terakhir aku berada di zaman sekolah rendah ni mestilah masa aku umur 12 tahun. Lepas tu, masuk sekolah asrama penuh, pergi luar negara. Bergaul dengan doktor-doktor hebat bijak bestari dan pelajar-pelajar konon nerd cemerlang gemilang terbilang. Masa jadi guru ganti tu, aku mula sedar, aku dulu pernah berada di sekolah biasa. Aku bermula dari situ. Aku dahulu pernah tak tahu apa-apa. Allah SWT yang pilih aku dan kita semua untuk jadi siapa diri kita sekarang. Aku yakin Allah pilih aku lalui pengalaman tu supaya aku insaf, rendah diri dan lebih menghargai peluang-peluang yang Dia dah bagi. Terima kasih cikgu!

2. Bersyukur dan kurang mengeluh. Ya, zaman internship ataupon HOship tak mudah. Perit. Tapi, bila kita pernah merasa berada di posisi lain, contohnya aku sebagai guru, betul lah Allah cakap, dia tak akan bebankan kita dengan sesuatu yang kita tak mampu. Hari pertama di sekolah, aku berfikir sendirian, “Aku lebih rela ada di hospital untuk rotation surgery dari pukul 7 pagi sampai 7 malam daripada jadi guru selama 6 jam”. Terutamanya untuk aku yang introvert dan tak suka menjerit bagai, jadi cikgu kena suara lantang..huhu..Kalau ada pembentangan dengan para doktor, tak perlu suara kuat, semua orang automatic senyap, haha…Kalau duk berbisik macam dalam bilik pembedahan, alamatnya tak belajar budak-budak! Sedangkan zaman belajar dulu, aku sibuk merungut busy kena pergi hospital sampai 12 jam sehari! Setiap kali rasa penat kerja sebagai doctor, aku ingatkan diri aku untuk sabar sebab tak ada kerja yang mudah kat dunia ni! Aku kurang mengeluh sebab aku sedar, kalau aku disuruh jadi guru, nelayan, jaga bangunan, tukang masak, jurutera atau pemandu teksi, aku tak akan mampu. Jangan ingat kerja doctor je kena berkorban. Ketahuilah, semua orang sedang ‘strugle’ dan berusaha. Allah memang nak uji kita sebab nak tingkatkan darjat kita di sisi Dia. Ni, aku coretkan khas untuk semua doctor kat luar sana yang rasa perit jerih kehidupan , termasuk buat diri aku sendiri.

3. Aku teringat satu kata-kata ni, nak tahu keadaan sesuatu umat tu, tengok lah keadaan para pemudanya. Semasa jadi cikgu tu, aku paling risau dengan akhlak budak-budak tu. Sedangkan aku sampai umur 20 tahun, guru masuk kelas akan ucap selamat, anak-anak murid aku, keluar kelas pun tak minta izin. Hilang sudah hormat pada guru. Aku ada terdengar para guru mengadu , “They can never respect their parents, if they can’t respect their teacher!” Para guru memang ikhlas nak mendidik, tapi seperti yang kita semua faham, semua perkara bermula dari rumah. Maka ingatlah, tak kira siapa kita, anak-anak ini adalah masa depan umat! Sebagai orang dewasa, kita perlu menjadi contoh terbaik kepada generasi muda. Kalau rasa anak-anak muda ni dah semakin hilang adab dan tatasusila, maka marilah kita sama-sama cermin diri. Mungkin, kehadiran mereka ni untuk kita sedar akan kealpaan kita atas soal akhlak mulia ni. Sudah tiba masa untuk kita perbaiki diri. Kalau kita tak boleh nak hormati teman sejawat kita sendiri umpamanya, mana mungkin anak-anak kita nak hormat dan sayang kepada kita dan guru mereka!

Kepada semua, jom kita sama-sama berfikiran positif dan bersyukur dengan apa jua kerjaya kita sekarang! Marilah kita fokus untuk membangunkan ummah dan negara. moga pekerjaan ini akan menjadi ibadah kita kerana AllahSWT….aminnn

– insan lemah

https://iiumc.com/doktor-vs-cikgu/

Catatan popular daripada blog ini

APA BEZA ANTARA IJAZAH SARJANA MUDA DENGAN KEPUJIAN DAN IJAZAH SARJANA MUDA SAHAJA ?

IKBN, ADTEC, JMTI, ILP, Kolej Komuniti, Politeknik, BLKP, IKM, KKTM

Pelajar UPSI Belum Tentu Jadi Guru: Info Buat Graduan UPSI, Peringatan Buat Pelajar IPG