Perkongsian pengalaman temuduga SPP DG41 (2015)
Baru beberapa hari ini, maka perkhabaran gembira kedengaran tatkala rakan-rakan telah mendapat panggilan untuk temuduga SPP. Tahniah diucapkan kerana ia merupakan langkah pertama sebelum bergelar sebagai seorang guru. Penantian kalian penuh dengan kesabaran, kerana tempoh dua tahun memang sangat lama.
Setahun lalu, saya juga merasai detik yang sama. Sekitar
awal Mac 2015, maka saya mendapat panggilan temuduga SPP. Tarikhnya adalah pada
18 Mac 2015 di Institut Pendidikan Guru Kampus Ipoh, jam 7.30 pagi, iaitu sesi
1.
Berdasarkan pengalaman saya yang lalu, bolehlah
disimpulkan bahawa temuduga SPP ini bukanlah sesuatu yang mudah. Memang sangat
sukar dan mencabar. Perlu ada persediaan mental terutamanya. Perlu bersedia
secukupnya.
Maka apakah persediaan yang perlu dilakukan? Sedikit
perkongsian saya nukilkan. Mungkin berguna kerana ia berdasarkan pengalaman
sendiri. Mungkin ia sesuai atau mungkin juga tidak.
Panggilan temuduga SPP saya dahulu |
Persediaan awal
Perkara pertama sebaik mendapat keputusan panggilan
temuduga SPP, adalah dengan menyemak maklumat peribadi yang terpapar. Apakah
nama betul dan apakah no ic juga betul. Kalau salah, maka maklumkan pada pihak
SPP. Perkara ini penting untuk mengelakkan masalah sewaktu hari temuduga nanti.
Apakah dokumen
yang perlu disediakan?
Senarai dokumen yang wajib dibawa akan dilampirkan oleh
pihak SPP di dalam portal. Berikut adalah senarainya:
a)
Kad pengenalan
b)
Sijil lahir
c)
Sijil SPM dan STPM (jika ada)
d)
Ijazah
e)
Surat pengiktirafan kelayakan dari JPA
(pengiktirafan kursus yang diambil di universiti)
f)
Buku Rancangan Pengajaran Harian (RPH) sewaktu
praktikum dulu.
Keenam-enam perkara ini wajib dibawa pada hari temuduga,
bawa yang asal dan perlu dibuat salinan serta disahkan. Kegagalan membawanya
boleh menyebabkan calon dihalang untuk masuk ke bilik temuduga.
Itu dokumen yang wajib dibawa yang diminta oleh SPP.
Kalau ikut senarai lain, banyak lagi yang perlu dibawa. Gambar di bawah ni
adalah senarai penuh yang perlu dimasukkan ke dalam fail nanti. (Fail perlu
clear folder)
Rasanya gambar tersebut dah cukup untuk menerangkan apa
yang perlu dibawa nanti. Oh ya, untuk tambahan, pastikan bawa bahan-bahan bantu
mengajar (ABM) sewaktu praktikum dulu. Tak perlu bawa semua. Sebab mungkin anda
perlu mengajar nanti sewaktu sesi temuduga.
Pakaian
Bagi lelaki, pastikan berbaju kemeja (pastikan baju
kemeja tanpa corak) serta bertali leher. Tanda nama perlu dipakai dan ikut
spesifikasi SPP (Boleh rujuk portal SPP). Seeloknya memakai blazer walaupun ia
bukan perkara yang diwajibkan. Kasut mesti kasut kulit dan perlu berkilat.
(Dulu saya ditegur sebab kasut tak berkilat). Stokin perlu warna hitam sahaja,
jangan pakai warna kelabu dan lain-lain.
Begitu juga perempuan. Seeloknya berbaju kurung, dan
memakai blazer. Namun, blazer yang dipakai mestilah blazer perempuan. Beza
blazer lelaki dan perempuan adalah terletak pada kedudukan butangnya. Blazer
lelaki butangnya ada tiga di bahagian kanan dan blazer perempuan butangnya ada
dua di bahagian kiri. Perlu juga memakai tanda nama, dan pastikan kasut yang
dipakai kasut yang sesuai iaitu kasut sarung.
Rambut bagi lelaki perlu kemas dan pendek. Elakkan
berjambang dan bermisai. Kalau boleh biar kosong muka tanpa misai dan janggut.
Pastikan rambut tidak berwarna. Bagi perempuan, rambut seeloknya diikat dengan
kemas.Kalau bertudung, seeloknya tudung bawal. Jangan pakai tudung yang berlilit dan berfesyen.
Soal pakaian ini sangat penting kerana ia akan menjadi
penilaian pertama oleh panel temuduga nanti. Jadi, pastikan pakaian yang
dipakai itu kemas dan mengikut etika pemakaian sebagai seorang guru.
Apa yang perlu
dibaca?
Soalan ini pasti akan berlegar-legar bagi semua yang akan
menghadapi temuduga SPP. Secara keseluruhannya, terdapat banyak juga yang perlu
dibaca sebelum melangkah ke bilik temuduga. Pengetahuan am seperti Rukun
Negara, sejarah negara, nama-nama Perdana Menteri Malaysia, nama-nama barisan kabinet
terkini dan tidak dilupakan juga nama Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia dan
negeri. Nama-nama ini perlu diingat dengan betul; dari gelaran sehinggalah nama
penuhnya.
Selain itu, fokus utama sewaktu temuduga nanti ialah
berkaitan dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) seperti lima
aspirasi pendidikan negara (Akses, Kualiti, Ekuiti, Perpaduan, dan Kecekapan).
Selain itu, perlu juga memahami enam ciri utama pelajar untuk bersaing di
peringkat global iaitu (Pengetahuan, Kemahiran Berfikir, Kemahiran Memimpin,
Kemahiran Dwibahasa, Etika dan Kerohanian, dan Identiti Nasional).
Selain itu perlu ingat dan faham 11 Anjakan untuk
transformasi sistem pendidikan negara yang terdapat dalam PPPM ini. Semua
maklumat ini boleh diperoleh dalam laman web KPM. Google saja PPPM, insya-Allah
anda akan jumpa.
Selain itu, anda perlu peka dengan isu-isu semasa seperti
GST, Kelas Abad ke-21, masalah jerebu, cuaca panas, isu-isu politik terkini
serta isu-isu antarabangsa. Maknanya, kena rajin-rajinlah untuk membaca akhbar
tempatan untuk tahu isu semasa ini.
Selain itu, cuba ingat kembali dan fahami lesson plan
atau RPH praktikum yang pernah anda buat dahulu. Cuba ingat aktiviti yang
pernah dilakukan dulu. Berkemungkinan anda akan ditanya oleh penemuduga dan
mungkin juga anda diminta untuk melakukan micro teaching sewaktu temuduga
nanti. Maknanya anda kena bersiap sedia kemungkinan untuk mengajar di dalam
bilik tersebut.
Untuk nota lengkap tersebut, anda boleh minta secara peribadi di Facebook saya, Muhammad Yazid Rosly.
Tentatif semasa
hari temuduga
1) Pendaftaran
Pastikan anda datang sejam
sebelum waktu temuduga. Sekiranya waktu temuduga yang tercatat dalam surat
panggilan itu ialah 7.30, maka anda perlu berada di tempat temuduga sekitar jam
6.45 hingga 7.00 pagi. Hal ini bagi mengelakkan situasi kelam kabut.
Apabila tiba, terus menuju ke
kaunter pendaftaran. Di sana, anda akan mendaftar nama anda untuk kehadiran.
Kemudian anda perlu menyerahkan semua dokumen yang dibawa (asal dan salinan)
untuk disemak oleh pegawai SPP. Sekiranya lengkap, anda akan dibenarkan untuk
temuduga. Jika tidak lengkap, anda diminta untuk melengkapkannya. Seeloknya,
susun siap-siap dokumen tersebut, bagi memudahkan pegawai SPP memeriksa dokumen
anda.
Sebaik selesai dokumen
diperiksa, pegawai SPP tadi akan meminta anda menunggu di luar bilik temuduga. Akan
ada enam orang yang akan menunggu di luar bilik ini yang barangkali rakan-rakan
anda sendiri.
Setiap bilik temuduga akan
dibahagikan kepada kursus dan bidang masing-masing. Kalau TESL macam saya, maka
semuanya nanti adalah dari kalangan TESL. Bilik-bilik lain pula akan punyai
panel yang berbeza mengikut kursus yang dipohon.
2) Sesi temuduga
Sesi temuduga akan berlangsung
secara berkumpulan. Sebaik keenam-enam nama dipanggil oleh pegawai SPP, maka
anda perlulah bergerak menuju ke bilik temuduga. Pastikan anda butang blazer
anda. Jangan lupa bawa bersama buku RPH anda serta bahan bantu mengajar jika
ada. Beg tangan jangan bawa masuk atau kalau bawa masuk, jangan letak di atas riba
anda. Letak di tepi kerusi.
Pastikan juga anda bergerak
mengikut urutan nama yang telah disebut oleh pegawai SPP tadi. Sebelum masuk,
ketuk pintu dahulu. Apabila diberi keizinan oleh panel temuduga, barulah anda
masuk. Orang pertama yang masuk haruslah memberi ucap salam.
Sebaik masuk, terus berdiri di
hadapan kerusi mengikut urutan nama atau ikut sahaja arahan dari panel
temuduga. Di dalam bilik ini, akan terdapat tiga orang panel temuduga yang terdiri
daripada guru cemerlang atau mungkin bekas pengetua. Seorang akan memeriksa RPH
anda, seorang lagi akan menyentuh soalan temuduga berkaitan kursus anda dan
seorang lagi akan bertanya soalan am.
Jangan duduk. Tunggu arahan
duduk dari mereka, barulah anda duduk. Terus berdiri di tempat masing-masing.
Sesi temuduga akan terbahagi
kepada tiga slot, iaitu slot etika
pemakaian, slot bidang kursus, dan slot pengetahuan am. Kebiasaan temuduga bagi
TESL berlangsung selama 2 ke 4 jam. (Antara temuduga SPP yang paling
panjang dan susah sebenarnya berbanding kursus lain).
Slot etika pemakaian
Untuk slot ini, ia akan bertanya
secara menyeluruh pengetahuan calon mengenai peraturan dan etika pemakaian
sebagai seorang guru. Kena tahu saiz standard tanda nama (berapa ukurannya,
jumlah huruf maksimum yang dibenarkan, dan warna apa). Perlu tahu dari mana
sumber rujukan bagi peraturan etika pemakaian ini. Jawapannya boleh dirujuk di
laman web SPP.
Anda juga akan ditanya tentang
perbezaan blazer lelaki dan perempuan, dan bagaimana ciri blazer itu sendiri;
iaitu perlu ada poket di dalam. Anda juga akan ditanya kenapa perlu pakai kasut
berwarna hitam. Kenapa guru perlu mengikut etika pemakaian. Semua ini akan
disoal dalam slot ini. Apa yang penting, tenang dan jawab dengan jujur. Kalau
tak tahu, cakap saja tak tahu. Jangan ‘menggoreng’ jawapan anda.
Kalau ikut pengalaman saya dulu,
slot ini berlangsung selama hampir 30 minit dan kami perlu berdiri sepanjang
slot ini.
Slot bidang kursus pengajian
Anda akan diminta duduk sebaik
slot ini dijalankan. Sebelum duduk, pastikan anda buka butang blazer. Kalau tak
buka, pasti anda akan ditegur nanti.
Bagi slot ini, ia akan menyentuh
soalan-soalan berkaitan bidang kursus anda. Soalan-soalan berkaitan bagaimana
Pdp berkesan akan ditanya nanti. Soalan yang akan ditanya lebih berbentuk
soalan KBAT yang bermaksud, ia memerlukan anda untuk berfikir dan
mengaplikasikannya dalam pengajaran anda.
Sebagai contoh seperti saya
dulu, saya ditanya soalan bagaimana untuk mengaplikasikan Rukun Negara kedua iaitu
Kesetiaan kepada Raja dan Negara ke dalam pengajaran Reading di kelas.
Bagaimana untuk menjalankan aktiviti di kelas, supaya para pelajar dapat
menyelami Rukun Negara kedua itu.
Jangan harap soalan straight to
the point seperti, apakah nama Menteri Pendidikan Malaysia, atau soalan seperti
apakah maksud KBAT dan I-Think. Soalan sebegitu takkan ditanya nanti. Ia lebih
bersifat soalan berfikir daripada soalan menghurai fakta dan angka! So, it’s
not easy anyway.
Slot soalan pengetahuan am
Bagi slot ini, ia akan
dikendalikan oleh panel kedua temuduga. Dalam slot ini, anda akan ditanya
mengenai apa-apa sahaja soalan am sama ada berbentuk umum atau mungkin juga
politik. Jika ia bersifat politik, pastikan anda menjawab dengan berhemah.
Ingat, anda nak kerja dengan kerajaan, jadi jawapan pun kenalah bersifat
berhemah.
Mungkin anda akan ditanya soalan
seperti GST, PPSMI, PIBG, atau apa sahaja isu-isu semasa yang sedang berlaku.
Untuk slot ini ia agak santai. Apa yang penting, anda harus tenang dan bijak
menjawab soalan. Tak perlu tergopoh gapah nak menjawab. Just relax.
Slot penutup
Selepas itu, panel ketiga
temuduga akan memberi komen mengenai buku-buku RPH yang diperiksanya. Dengar
sahaja komennya dan jangan beri apa-apa ulasan anda. Angguk sahaja dan jangan
bangkang. Memang beliau akan mengkritik dan memberi komen yang mungkin
kadangkala pedas. Tetapi, biarkan sahaja kerana memang kita banyak kelemahan
sewaktu praktikum dahulu.
Ulasan yang diberi lebih
bersifat secara umum. Maknanya, beliau akan mengulas buku RPH itu secara
keseluruhan tanpa menyebut siapa nama pemilik buku RPH itu.
Selepas itu, maka selesailah
sesi temuduga anda. Apabila anda diminta berdiri, barulah berdiri. Kemudian
salamlah kesemua panel tersebut dan ucapkan ucapan terima kasih.
Sewaktu temuduga saya dulu,
salah seorang panel itu merupakan bekas Pengetua sekolah adik saya. Maka,
berbuallah saya seketika dengannya selepas itu.
Tips sewaktu ditemuduga
1)
Dengar
arahan yang diberi
Patuh dan dengar setiap arahan
yang diberi oleh barisan panel. Jangan lawan atau mempersoalkan mereka. Jika
mereka suruh anda melakukan pengajaran mikro di bilik tersebut, patuhi dan turuti
sahaja. Jangan cakap tak boleh.
Ada sesetengah rakan saya
diminta untuk melakukan pengajaran mikro. Sebab itu kena siap sedia bahan ABM
sewaktu temuduga SPP.
2)
Dengar
soalan dengan teliti. Jangan gementar atau berangan.
Fikiran kena fokus. Dengar
soalan yang diajukan dengan teliti. Soalan yang diberi memang kadangkala agak
panjang. Maka, ingat setiap elemen yang ditanya. Fahami soalan yang diberi.
Jangan terlalu gementar dan jangan berangan pula. Pastikan fikiran anda di
bilik tersebut. Takut nanti salah faham soalan, dijawab salah soalan yang
diberi.
3)
Jika
tak tahu nak jawab apa, beri peluang kepada rakan-rakan lain
Mungkin akan ada waktu di mana
anda tak tahu nak jawab apa. Maka, senyap sahaja dan jangan cuba menjawab.
Biarkan rakan-rakan anda menjawabnya dahulu. Kebiasaannya panel temuduga akan memberi
peluang kepada sesiapa sahaja untuk menjawab dulu. Kalau semua senyap, baru dia akan
sebut nama.
Selalunya apabila mendengar
jawapan dari rakan-rakan anda, mungkin anda akan mendapat sedikit idea untuk
jawapan anda nanti. Tapi hati-hati, kalau anda menjadi orang terakhir menjawab,
takut pula kesemua idea anda telah dijawab oleh rakan-rakan anda yang lain.
4)
Jangan
gopoh dan jangan menguasai perbincangan
Untuk temuduga SPP ini, anda
kena tenang. Bukan sejauh mana anda mampu bercakap, atau sejauh mana anda petah
berkata-kata, tetapi sejauh mana ketepatan jawapan anda. Panel akan menilai
bagaimana cara anda menajawab soalan itu. Kadangkala cakap sedikit sahaja,
namun jawapan yang diberi tepat. Itulah yang sebaiknya.
Seperti saya dulu, ditanya
soalan fungsi dan peranan PIBG. Rakan-rakan dalam kumpulan saya semua menjawab
panjang lebar dan jawapan mereka lebih berfokus kepada cara meningkatkan prestasi
akademik sekolah. Sebaik giliran saya untuk menjawab selaku orang terakhir,
saya hanya memberi jawapan pendek iaitu fungsi PIBG adalah sebagai satu sumber
kewangan sekolah untuk pembangunan akademik dan fizikal sekolah.
Panel tersebut kemudian berkata
“Itulah jawapan yang saya nak”
Nampak tak. Tak perlu cakap
banyak. Apa yang penting tepat.
5)
Kalau
tak tahu, jangan hentam menjawab
Ini adalah perkara paling
penting. Apabila ditanya soalan dan anda tidak tahu jawapannya, jangan sama
sekali cuba menjawab soalan yang diberi. Jangan cuba nak ‘menggoreng’. Cakap saja
tak tahu. Apa yang penting kena jujur. Jangan tunjuk pandai.
6)
Tenang
dan jangan tunjukkan wajah gementar anda
Buat biasa sahaja sewaktu di
bilik temuduga. Jangan menampakkan diri anda itu gementar. Sebagai bakal guru
anda kena yakin walaupun memang di saat itu anda gementar. Panel nak lihat
perwatakan anda. Maka tunjukkanlah perwatakan yang yakin dan tenang sesuai
dengan ciri seorang guru.
Penutup
Hakikatnya, temuduga DG41 SPP ini bukanlah mudah. Memang
ia boleh dikatakan sangat susah dan mencabar. Tekanan yang akan dihadapi memang
tak boleh digambarkan. Mungkin akan diingati sampai ke hari tua. Maka, persiapkan
diri bukan sahaja dari sudut ilmu, tetapi juga dari sudut mental. Fikiran kena
tenang dan bersedia. Jangan terlalu risau. Bersiap sedia untuk menghadapi
tekanan nanti.
Namun, harus diingat, sejauh mana pun sukarnya temuduga
SPP itu, kelak apabila anda menjadi guru, beban tugasnya lebih hebat dan besar.
Oleh itu, bersiap sedia untuk masuk ke alam pendidikan. Ia bukan kerja yang
mudah.
Jangan dulu asyik berkobar-kobar tuntut temuduga dan posting,
bila dah kerja mula mengeluh sana dan sini. Sejujurnya, nak jadi guru jangan
mengeluh. Terima sahaja walaupun ia membebankan.
Salam maju jaya buat rakan-rakan yang bakal menghadapi
temuduga SPP nanti. Buat yang terbaik. Moga berjaya dan mendapat posting nanti.
Insya-Allah.
Wajah ceria selepas temuduga SPP yang berlangsung selama hampir 3 jam. Saya di belakang paling kiri. |
*Untuk nota lengkap dan sebarang pertanyaan boleh PM Facebook saya.
http://yazidrosly-mydablog.blogspot.com/2016/04/perkongsian-pengalaman-temuduga-spp.html
http://yazidrosly-mydablog.blogspot.com/2016/04/perkongsian-pengalaman-temuduga-spp.html