Tips Biasiswa: Panduan dan Contoh Surat Permohonan Biasiswa
Sesetengah penaja biasiswa tidak mengeluarkan borang permohonan
bersama-sama dengan iklan tawaran biasiswa. Sebaliknya, mereka akan
meminta para pelajar yang berminat memohon supaya menyediakan dan
menghantar permohonan biasiswa
sendiri. Ini adalah sebagai satu ujian awal untuk meneliti kredibiliti
dan profesionalisma seseorang pemohon. Jika anda ada menjumpai mana-mana
penaja yang melakukan sebegini, harus diingat yang anda perlu
menghantar tiga perkara penting iaitu:
1. Surat permohonan biasiswa2. Resume
3. Dokumen-dokumen sokongan - salinan kad pengenalan, sijil-sijil dan surat tawaran ke universiti (jika ada)
Untuk entri kali ini, saya akan lebih menekankan berkenaan surat permohonan biasiswa. Dalam menyediakan surat ini, beberapa elemen penting harus diberi perhatian:
Surat haruslah ditulis menggunakan format dan gaya bahasa formal untuk
menunjukkan kredibiliti anda. Gaya bahasa yang baik dapat menarik
perhatian para penilai. Jika anda tidak mahir menulis surat formal,
dapatkan bantuan daripada mereka yang pakar seperti guru-guru, atau
rujuk kepada contoh-contoh surat formal dalam buku atau Internet.
2. Penulisan yang ringkas
Penulisan yang ringkas dan tidak meleret-leret adalah asas penting dalam
penulisan surat formal. Tambahan lagi, ini akan membuatkan para penilai
yang membaca surat anda untuk lebih fokus kepada maklumat-maklumat yang
ingin anda sampaikan.
3. Alamat yang sah
Dalam surat permohonan, anda perlulah meletakkan alamat anda yang sah,
sebaik-baiknya alamat tetap atau alamat surat-menyurat. Pihak penaja
biasanya akan membalas permohonan anda melalui surat. Oleh itu, alamat
yang sah akan memudahkan anda untuk menerima sebarang surat balas yang
dihantar oleh pihak penaja.
4. Penggunaan 'bold'
Beberapa maklumat penting yang anda nyatakan dalam surat anda seperti
nama, nombor kad pengenalan, keputusan peperiksaan dan kursus pengajian
bolehlah ditebalkan (bold) untuk memudahkan pihak penilai mendapatkan
maklumat-maklumat tersebut. Namun, penggunaannya janganlah sampai
berlebih-lebihan kerana akan merosakkan formaliti surat anda.
5. Sebab memohon
Dalam surat anda, anda boleh menyatakan sebab utama anda memohon
biasiswa daripada penaja tersebut. Kaitkannya dengan kursus pengajian
yang anda akan atau sedang jalani. Harapan dan impian anda juga boleh
ditulis untuk menguatkan lagi sebab anda memilih penaja tersebut.
Tetapi, sekali lagi diingatkan, jangan berlebih-lebihan.
6. Kemas dan teratur
Pastikan surat ditulis dengan kemas dan teratur. Penggunaan huruf besar,
huruf kecil dan tanda-tanda bacaan perlulah betul dan kena pada
tempatnya. Pemilihan jenis tulisan yang seragam turut memainkan peranan
penting. Sebaik-baiknya, gunakan tulisan yang formal seperti Arial,
Calibri dan Times New Roman. Penggunaan perenggan, penomboran dan bulet
juga harus diperhatikan.
Berikut adalah salah satu contoh surat permohonan biasiswa yang baik:
[Nama anda]
[Nombor kad pengenalan]
[Alamat anda]
[Tarikh]
[Alamat penaja]
Tuan,
PERMOHONAN BIASISWA ABC UNTUK TAHUN 2013
Merujuk kepada tawaran biasiswa yang dikeluarkan oleh pihak Tuan, saya
dengan ini menghantar permohonan saya untuk dipertimbangkan oleh pihak
Tuan.
2. Untuk makluman pihak Tuan, saya baharu sahaja menamatkan pengajian
dalam bidang Sains Hayat di Kolej Matrikulasi DEF dengan keputusan CGPA
3.67. Saya mempunyai minat yang mendalam untuk menyambung pelajaran
dalam bidang farmasi dan telah memohon untuk mengikuti pengajian Ijazah
Sarjana Muda Farmasi (Kepujian) di Universiti XYZ bagi sesi pengambilan
tahun 2013.
3. Bersama-sama surat ini, saya lampirkan resume, salinan sijil
keputusan peperiksaan dan sijil-sijil aktiviti kokurikulum untuk
perhatian pihak Tuan. Resume yang dilampirkan menyatakan dengan jelas
butiran pencapaian akademik dan penglibatan aktif saya dalam bidang
kokurikulum di peringkat sekolah dan kolej matrikulasi. Aktiviti yang
dijalani mencerminkan ketinggian motivasi, kebolehan dan keupayaan saya
memenuhi hasrat dan aspirasi organisasi Tuan.
4. Saya yakin dan percaya bahawa Biasiswa ABC merupakan batu loncatan
terbaik untuk membolehkan saya meneroka potensi sebenar diri saya dalam
mencapai cita-cita menjadi seorang ahli farmasi yang berjaya.
5. Terima kasih untuk perhatian yang diberi dan masa yang diluangkan.
Pihak Tuan boleh menghubungi saya dan memanggil saya untuk sesi temuduga
pada bila-bila masa yang ditetapkan.
6. Semoga permohonan ini mendapat pertimbangan sewajarnya daripada pihak
Tuan. Segala kerjasama didahului dengan ucapan terima kasih.
Sekian, terima kasih.
Yang benar,
[Tandatangan]
[Nama anda dalam huruf besar]
[Nombor kad pengenalan]
http://tipsbiasiwa.blogspot.com/2013/02/tips-biasiswa-panduan-dan-contoh-surat.html