Lima Fakta Yang Anda Perlu Ketahui Tentang Doktor Perubatan Veterinar

Baru-baru ini tular di media tentang pelajar perubatan veterinar yang membawa anjing ‘bersiar-siar’. Ada netizen yang beranggapan negatif dengan kejadian tersebut. Ada juga masyarakat yang mengecam kerjaya doktor perubatan veterinar yang terpaksa bergelumang dengan anjing dan babi yang sangat dipandang rendah oleh sesetengah masyarakat kita.
Chill kawan-kawan!
Jangan kita melihat dari sudut pandangan ‘serong’ sahaja. Jom kita mengkaji pula fakta-fakta positif mengenai kerjaya doktor perubatan veterinar.
Disini saya berkongsi lima fakta. Ada banyak lagi fakta sebenarnya, tetapi saya senaraikan lima yang utama sahaja. Yang lain itu, tuan dan puan boleh cari ‘Mr. google’ untuk membantu.

1. Kerjaya yang amat dihormati di negara-negara maju

Apabila saya berada di luar negara, di bumi United Kingdom, rata-rata apabila saya memberitahu saya adalah veterinarian, mereka sangat kagum.
Sebenarnya, salah satu sebab masyarakat orang putih disana sangat kagum dengan pekerjaan doktor perubatan veterinar adalah kerana kami mempunyai pesakit yang tidak boleh berkomunikasi. Pesakit kami tidak boleh bertutur atau mengadu tentang permasalahan mereka. Kami kebiasaanya akan membuat diagnosis daripada apa yang diberitahu oleh owner atau pemilik dan melalui pemeriksaan fizikal.
Vet 1
School of Veterinary Medicine, University of Glasgow merupakan salah satu sekolah veterinar terkemuka di dunia yang menawarkan pengajian ijazah doktor perubatan veterinar.
Bayangkan merawat pesakit yang tidak boleh berkomunikasi, mencabar tak? Masih teringat ada yang mengejek saya semasa saya masih bergelar pelajar.
“Hang ni kerja selok pungkuk lembu ka?” (nada bahasa Utara). Wahai makcik-makcik bawang, kerja kami bukan selok bontot lembu sahajalah.
Bayangkan kalau tiada doktor veterinar, semua lembu-lembu mati disebabkan penyakit. Siapa yang susah? Makcik bawang dan kawan-kawannya sebab tiada daging untuk dibuat rendang.
Masih teringat meletusnya insiden penyakit zoonotik seperti ‘H5N1 Avian Influenza’, ‘rabies’ atau anjing gila, Nipah Virus di Malaysia? Mesti ada yang tertanya pula, apa penyakit zoonotik ini? Zoonotik adalah penyakit-penyakit yang boleh menjangkiti manusia daripada haiwan.
Kami adalah ‘pahlawan’ yang memelihara keselamatan manusia sejagat dengan mengawal merebaknya penyakit zoonotik. Walaupun ada risiko kami mendapat penyakit tersebut. ‘Macho’ kan kerjaya doktor veterinar?
Vet 2
Berpakaian seperti angkasawan untuk mengurangkan risiko mendapat jangkitan penyakit yang berbahaya daripada haiwan

2. Kerjaya yang amat ‘versatile’

Pesakit kami terdiri daripada pelbagai spesis. Kalau doktor perubatan, mereka hanya bertemu dengan spesis ‘homo sapiens’. Tetapi, kami sebagai doktor perubatan veterinar, merawat multi-spesis termasuk ‘feline’, ‘bovine’, ‘ovine’, ‘caprine’ dan pelbagai. Semua pasti tergeliat lidah nak menyebut satu spesis satu per satu.
vet 3
Kepelbagaian spesis yang perlu dirawat oleh doktor perubatan veterinar
Apa yang saya hendak sampaikan di sini adalah dengan kepelbagai spesis ini, banyak kepelbagaian dari segi adaptasi fisiologi spesis haiwan ini. Contoh, kucing adalah sangat sensitif terhadap panadol berbanding spesis lain disebabkan struktur hati yang agak berlainan berbanding dengan spesis lain. Maka dengan itu, organ hati kucing tidak dapat memproses Panadol dengan efisyen.
Maka, dengan itu, adik-adik, kucing tidak boleh diberikan Panadol untuk merawat demam! Kerjaya doktor veterinar memerlukan kita ‘versatile’ untuk ‘handling’ dan memberikan mereka ubat. Kepada sesiapa yang mempunyai haiwan kesayangan, pastinya adik-adik tahu bagaimana peritnya nak bagi ubat kepada kucing anda!
Itu baru haiwan yang saiznya kecil dan tidak mempunyai taring yang tajam. Bayangkan bagaimana kami merawat harimau dan beruang? Memanglah kami boleh memberikan sedatif atau ‘ubat tidur’, tetapi bagaimana pula scenario sebelum diberikan sedatif?
Doktor veterinar bukan sahaja perlu mendiagnos haiwan, tetapi mereka perlu menyesuaikan diri dengan spesis haiwan yang dirawat. Bayangkan nak merawat kuda, kalau silap langkah, boleh ditendang oleh haiwan yang amarah disebabkan dalam kesakitan!
vet 4
Doktor veterinar perlu ‘versatile’ dengan keperluan pesakitnya

3. Kerjaya yang tidak mendiskriminasi apa-apa makhluk

Dalam ajaran Islam memanglah anjing dan babi dikategorikan Najis Mughallazhah (najis berat), tetapi mereka juga makhluk Allah yang perlu dipelihara. Anjing dan babi antara spesis haiwan yang kami belajar. Ada dikalangan masyarakat kita yang sangat negatif apabila mendengar nama kedua-dua makhluk ini.
Akan tetapi, kerjaya kami tidak membezakan atau mendiskriminasi makhluk Allah. Mereka juga merasai kesakitan, dan perlu dirawat jika mempunyai penyakit. Ajaran Islam kan mudah. Samak sahaja menggunakan sabun sabak apabila kita telah menyentuh makhluk Allah ini.
Vet 5
Semua haiwan adalah makhluk Allah yang perlu disayangi

4. Kerjaya yang banyak peluang pekerjaan

Ramai beranggapan jika kami mengambil jurusan doktor perubatan veterinar ini, mereka hanya boleh membuka klinik veterinar. Sebenarnya banyak peluang pekerjaan yang ditawarkan kepada graduan doktor perubatan veterinar. Antaranya bidang akademik, ‘food animal practice’ (ladang-ladang), ekuin praktis,exotik dan hidupan liar praktis, badan polisi dan penasihat seperti Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI). Ada juga graduan doktor perubatan veterinar yang menyertai Royal Malaysian Police, Royal Malaysian Armed Forces and Royal Customs.
Vet 6
Doktor perubatan veterinar juga boleh menjadi konsultan pemeliharaan haiwan akuatik

5. Kerjaya yang hanya ditawarkan oleh dua universiti di Malaysia

Untuk bergelar doktor perubatan veterinar, anda perlu memperolehi sijil ijazah ‘Doctor of Veterinary Medicine’ atau Doktor Perubatan Veterinar yang diberikan oleh universiti yang menawarkan program tersebut.
Buat masa ini, hanya dua buah universiti di Malaysia yang menawarkan ijazah Doktor Perubatan Veterinar; di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK). Pengajian melibatkan lima tahun, yang terdiri pre-klinikal, para-klinikal dan klinikal.
Untuk pengetahuan semua, pelajar perubatan veterinar UPM tahun akhir akan menduduki peperiksaan yang dinamakan ‘Comprehensive Examination’ yang dijalankan oleh pemeriksa luar yang dipilih daripada universiti luar yang dipilih oleh universiti, ini termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, EU, Australia dan New Zealand.
Graduan yang bergraduat daripada Fakulti Perubatan Veterinar UPM bukan biasa-biasa ya.
vet 7
Program memperkenalkan kerjaya doktor perubatan veterinar kepada pelajar-pelar sekolah di peringkat fakulti
Diharap dengan perkongsian ini masyarakat faham tentang pekerjaan ini, dan ibubapa atau kakak-kakak, abang-abang dapat memberikan sokongan kepada anak-anak, adik-adik jika mereka ingin berkecimpung dalam dunia doktor perubatan veterinar.
Dr Nur Mahiza Md Isa
Pensyarah Kanan
Fakulti Perubatan Veterinar
Universiti Putra Malaysia

https://www.facebook.com/nurmahiza

Catatan popular daripada blog ini

APA BEZA ANTARA IJAZAH SARJANA MUDA DENGAN KEPUJIAN DAN IJAZAH SARJANA MUDA SAHAJA ?

IKBN, ADTEC, JMTI, ILP, Kolej Komuniti, Politeknik, BLKP, IKM, KKTM

Pelajar UPSI Belum Tentu Jadi Guru: Info Buat Graduan UPSI, Peringatan Buat Pelajar IPG